Wednesday, 11 September 2013

iSu2 sEmaSa dI MalaYsIa

ISU KENAIKAN HARGA MINYAK PETROL DAN DIESEL DI MALAYSIA


1. Adakah Harga Petrol di Malaysia Mahal?
Tidak.
Secara perbandingan, harga petrol (lebih dikenali sebagai ‘gasolin’ di Amerika Syarikat) di Malaysia ialah yang kedua termurah di antara 7 buah negara-negara jirannya di Asia Tenggara (sila klik untuk besarkan imej):
Negara Asia Tenggara yang mempunyai harga petrol paling mahal ialah Singapura dengan harga RM5.14 (SGD2.12) seliter bagi RON 95, manakala negara yang mempunyai harga petrol termurah ialah Brunei dengan harga RM1.28 (BND0.53) seliter bagi RON 97.
Jika harga-harga petrol negara lain tidak ditukar kepada matawang ringgit, secara perbandingan, seorang rakyat Singapura yang berpendapatan SGD2,000 sebulan perlu membayar SGD2.12 untuk seliter petrol RON 95, sedangkan seorang rakyat Malaysia yang berpendapatan RM2,000 sebulan hanya perlu membayar RM1.90 untuk kuantiti dan gred petrol yang sama.
2. Mengapa Harga Petrol di Malaysia Tidak Semurah di Brunei?
Gabungan faktor kekayaan dan saiz populasi yang kecil jika dibandingkan dengan Malaysia menyebabkan Brunei mampu memberikan subsidi lebih untuk harga petrol. Selain itu, hampir kesemua kekayaan Brunei diperolehi daripada hasil pengeluaran minyak.
Brunei ialah negara ke-6 terkaya di dunia, dan memiliki populasi yang lebih kecil daripada populasi bandar Seremban, iaitu hanya 407,000 orang.7 Malaysia pula berada di tangga ke-60 dan memiliki populasi seramai 27.57 juta orang8:
Kekayaan sesebuah negara boleh diukur melalui kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada pariti kuasa beli (PKB) per kapita. KDNK (PKB) ialah nilai kesemua keluaran (barangan dan perkhidmatan) sesebuah negara dalam setahun, yang dibahagikan dengan jumlah penduduk negara tersebut. Ia adalah ukuran yang lebih digemari oleh ahli-ahli ekonomi untuk melihat kebajikan per kapita dan membandingkan keadaan hidup serta penggunaan sumber negara-negara9. Data di atas diperolehi daripada IMF (International Monetary Fund)10.
3. Mengapa Harga Petrol di Malaysia ‘Tidak Murah’ Sedangkan Malaysia Ialah Negara Pengeluar Minyak?
Malaysia bukanlah negara pengeluar minyak yang utama.
Malaysia tidakpun layak untuk menganggotai OPEC (Organization of the Petroleum Exporting Countries – Organisasi Negara-negara Pengeksport Petroleum) kerana ia lebih banyak mengimport minyak daripada mengeksportnya. Atas sebab yang sama juga, Indonesia terpaksa menarik diri daripada OPEC pada tahun 2008.11
Banyak pihak gagal atau sengaja tidak membuat perbandingan yang menyeluruh, apabila hanya membandingkan harga petrol di Malaysia dengan negara pengeluar minyak lain, tanpa membandingkan jumlah pengeluaran minyaknya. Sebagai contoh: tindakan membandingkan harga petrol di Arab Saudi, negara anggota OPEC yang mengeluarkan 10.25 juta tong minyak sehari, dengan harga petrol di Malaysia, negara bukan anggota OPEC yang hanya mengeluarkan 703,920 tong sehari, sudah tentulah tidak wajar.
Berdasarkan maklumat EIA (U.S. Energy Information Administration – Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat), Malaysia sekadar menduduki tempat ke-26 dalam senarai pengeluar minyak dunia12:
Perbandingan lebih tepat wajar dilakukan dengan negara-negara yang memiliki jumlah pengeluaran minyak yang hampir sama dengan Malaysia. Jika dibandingkan dengan 10 negara lain yang mengeluarkan antara 543,000 sehingga 1.13 juta tong minyak sehari, Malaysia memiliki harga petrol ke-4 termurah (sila klik untuk besarkan imej):
Negara yang memiliki harga termurah antara 10 negara tersebut ialah Qatar yang juga merupakan anggota OPEC, diikuti oleh Oman. Kedua-dua negara ini memiliki jumlah pengeluaran minyak yang lebih besar daripada Malaysia. Negara dengan harga petrol ketiga termurah pula ialah Mesir, namun menurut IEA (International Energy Agency – Agensi Tenaga Antarabangsa), Mesir bakal menghapuskan subsidi tenaga kepada semua industri sebelum akhir tahun 2011.21
Jika harga petrol tidak ditukar kepada matawang ringgit, secara perbandingan, seorang rakyat Mesir yang berpendapatan EGP2,000 sebulan perlu membayar EGP2.75 untuk seliter petrol RON 95, sedangkan seorang rakyat Malaysia yang berpendapatan RM2,000 sebulan hanya perlu membayar RM1.90 untuk kuantiti dan gred petrol yang sama.
Harga petrol di Argentina pada tahun 2010 (kira-kira RM3.51 untuk Premium RON 97.5, RM2.89 untuk Super RON 96). Argentina mengeluarkan 787,180 tong minyak sehari berbanding Malaysia 703,920 tong sehari. (Gambar daripada Clarin.com)
4. Mengapa Malaysia Tidak Menambah Subsidi Untuk Menurunkan Harga Petrol?
Jumlah subsidi minyak Malaysia ialah yang tertinggi antara mana-mana negara Asia Tenggara, iaitu sebanyak 2.4% daripada KDNK.22
Brunei, negara Asia Tenggara yang memiliki harga petrol terendahpun hanya membelanjakan 2.2% sahaja daripada KDNK untuk subsidi minyak. Adalah perlu diingatkan bahawa KDNK Brunei (RM36.88 bilion) ialah kecil berbanding Malaysia (RM682.66 bilion).10
Menurut majalah The Economist, pada tahun 2008 Malaysia mempunyai antara bil subsidi minyak termahal di dunia.23
Perbandingan harga petrol sedunia yang dibuat oleh majalah The Economist pada 2008.
Pada November 2010, sidang kemuncak kumpulan negara-negara ekonomi terbesar dunia, G20, yang diadakan di Seoul, Korea Selatan telah membuat deklarasi untuk menghentikan secara berperingkat (phase-out) subsidi minyak yang dikatakan tidak efisien dan menggalakkan pembaziran.24 Sidang tersebut antara lain dihadiri oleh Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, Perdana Menteri United Kingdom, David Cameron, selain wakil kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono.
Presiden AS, Barack Obama, bersama-sama beberapa orang pemimpin negara G20. Pada November 2010, pemimpin-pemimpin G20 telah menandatangani deklarasi untuk menghentikan subsidi minyak, yang dikatakan ‘menggalakkan pembaziran’, secara berperingkat. (Gambar daripada medicalcreditfund.org)
Menurut IMF,25 subsidi minyak lebih banyak menguntungkan golongan kaya berbanding golongan miskin. Berdasarkan kertas kerja yang diterbitkan pada 2007, untuk setiap 1 unit sumber (unit of resources) yang digunakan oleh golongan miskin, 3 hingga 5 atau lebih unit digunakan oleh golongan lebih kaya. Kertas kerja berkenaan juga mencadangkan agar subsidi minyak dihapuskan, dan perbelanjaan untuk subsidi dialihkan kepada usaha penambahbaikan kualiti pendidikan, perkhidmatan kesihatan, infrastruktur dan mengurangkan cukai.
Selain daripada itu, subsidi minyak juga dianggap sebagai antara penyebab kenaikan harga minyak dunia. Menurut Financial Times, subsidi melindungi pengguna daripada harga borong minyak yang tinggi, tetapi kemudiannya meningkatkan permintaan minyak dan mendorong kenaikan harga borong.26 Antara negara yang dilihat mengakibatkan kenaikan harga minyak dunia ialah China.27 China yang merupakan negara terbesar di dunia (populasi 1.3 bilion orang), kini juga memiliki pasaran kereta terbesar di dunia (13.6 juta unit kereta dijual pada 2009) apabila mengatasi Amerika Syarikat (10.4 juta unit).28 Namun begitu, jumlah pengguna kereta yang sebegitu besar di China tidak membayar harga sebenar untuk minyak kerana menerima subsidi 3.9% daripada kos sebenar.22
China: daripada pasaran basikal terbesar di dunia, kepada pasaran kereta terbesar di dunia. Apabila China memotong subsidi pada Jun 2008, harga minyak dunia serta-merta menjunam USD5 setong. (Gambar daripada 43bikes.com)
Apabila China memotong subsidi dan menaikkan harga petrol sebanyak 20% pada Jun 2008, harga minyak dunia serta-merta menurun USD5 setong
 

 

HARIMAU LAPAR LAGI!

HARIMAU LAPAR LAGI! Ong Kim Swee (dua dari kiri) memantau anak didik pada sesi latihan terakhir sebelum bertemu Thailand malam ini.
Kuantan: Tiket ke final Pestabola Merdeka sudah dalam genggaman, tetapi Harimau Muda A tidak akan memperlahankan rentak permainan sebaliknya meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan ketiga menentang Thailand di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Kejohanan ini adalah sebagai persiapan untuk Sukan SEA dan perlawanan dengan Thailand ini cukup penting bagi memastikan semua pemain dapat diuji, kata ketua jurulatih, Ong Kim Swee pada sidang media, semalam.
Selepas dua perlawanan, saya hanya dapat menilai setengah daripada 25 pemain yang dibawa ke sini, jadi pertemuan dengan Thailand akan memberi peluang kepada pemain yang belum beraksi.


Pamer prestasi sama

Namun, saya tidak mahu rentak permainan yang ditetapkan keseb elasan utama sebelum ini menurun sebaliknya mengharapkan siapa pun yang diturunkan nanti mempamerkan prestasi sama atau lebih baik.

Kim Swee berkata, pemain yang tidak diturunkan sebelum ini bukan bererti mereka belum cukup bagus, tetapi dia mahu melihat keserasian di antara pemain kelab dan Harimau Muda A yang pertama kali bergandingan.

Pada perlawanan pertama menentang Singapura, saya hanya membariskan empat pemain Harimau Muda A, dan kebanyakan pemain yang masih belum beraksi adalah pemain Harimau Muda A yang sudah lama berlatih bersama. 

 

 

FAM turun harga tiket Pestabola

Kuantan: Harga tiket bagi menyaksikan kejohanan Pestabola Merdeka yang sedang berlangsung di sini akan diturunkan bermula dengan perlawanan ketiga yang berlangsung serentak di Stadium Mini Temerloh dan Stadium Darulmakmur.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perkara berkenaan diputuskan oleh pihaknya selepas berbincang dengan penganjur kejohanan ProEvents International (M) Sdn Bhd.

Lanjut kontrak


Menurutnya, harga tiket bagi tempat duduk bebas dan grandstand di Stadium Darul Makmur diturunkan masing-masing kepada RM20 dan RM50 berbanding RM38 dan RM68 sebelum ini, manakala perlawanan antara Singapura dan Myanmar di Stadium Mini Temerloh pada RM20 dan RM25 berbanding RM28 dan RM38 sebelum ini.

“Saya berharap penurunan harga ini akan membolehkan peminat di Pahang dapat hadir bagi menyaksikan perlawanan,” kata Hamidin sambil menjelaskan harga tinggi yang ditetapkan sebelum ini tidak dapat dielakkan disebabkan kos perbelanjaan kejohanan yang tinggi.

Dalam perkembangan lain Hamidin berkata, FAM akan berbincang dengan pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkaitan lanjutan kontrak pemain.

Jangan pancing pemain
“Kita maklumkan kepada Datuk Afandi Hamzah (Naib Presiden FAM) yang juga pengurus pasukan bawah 23 Tahun serta Kim Swee supaya memberi laporan berkenaan pemain yang ingin mereka lepaskan serta kekalkan tahun depan,” katanya.

Menurutnya perkara itu dijangka diputuskan selewat-lewatnya pada Oktober. Hamidin turut mengingatkan pasukan yang berhasrat memancing pemain Harimau Muda A supaya tidak berbuat demikian dalam tempoh terdekat bagi membolehkan misi mempertahankan emas pada Sukan SEA di Myanmar Disember ini tercapai.

“Memang sukar untuk kita bendung komunikasi antara pengurusan kelab dan pemain-pemain muda ini, tetapi nasihat saya kepada pemain, jangan terlalu ghairah mengejar gaji lumayan. Gunakan peluang bersama skuad Kim Swee ini untuk menimba pengalaman dan selepas itu barulah cari kelab yang sesuai, katanya. 

 

 

Masa depan Zulfahmi bersama KTM Ajo mula samar

 Kurang sebulan sebelum Grand Prix MotoGP Malaysia 2013 membuka tirainya Oktober depan, masa depan penunggang Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin bersama pasukan Red Bull KTM Ajo mulai tampak semakin samar.

Situasi itu bersandar pengakuan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali yang akan berada di Litar Misano, San Marino hujung minggu ini untuk berbincang secara lebih mendalam serta menilai situasi yang berlaku.

“Pencapaian Zulfahmi sepanjang musim ini dilihat mengecewakan dan ia bakal menjadi lebih teruk jika gagal bangkit dalam baki enam perlumbaan selepas ini," kata Razlan yang akan turut membincangkan soal pemilihan pasukan baru untuk Zulfahmi.


"Kontrak Zulfahmi bersama pasukan Red Bull KTM Ajo hanya selama setahun dan jika keputusannya kekal seperti ini, saya tidak nampak ada sebab pasukan akan mengekalkan kedudukannya kerana ramai pelumba lain yang ingin berada dalam pasukan itu.

“Tahun lalu, apabila dia buat yang terbaik, kita mempunyai banyak pilihan namun apabila keputusannya seperti ini pilihannya terhad. Aki Ajo (pengurus) nak bina balik pasukan seperti tahun lalu namun kita perlu berbincang mengapa Zulfahmi tidak meningkat musim ini walaupun berada di pasukan sama.

“Sudah ada satu atau dua pasukan menunjukkan minat dan apa yang penting, kami akan pastikan Zulfahmi ada pasukan musim depan. Kita masih meletakkan kepercayaan kepadanya malah sebelum ini kita memang memberi masa sehingga lima tahun untuk dia membuktikan kemampuannya,” kata Razlan.

Pelumba kelahiran Banting, Selangor itu mencuri perhatian dunia musim lalu termasuk melakar dua kejayaan podium termasuk di Malaysia namun selepas berakhir 12 pusingan musim ini, prestasi merudum dengan kedudukan terbaik tempat keenam di Qatar.
Begitupun, Razlan mengesahkan seorang pelumba muda negara semakin hampir untuk beraksi di kejuaraan dunia Moto3 musim depan iaitu Amirul Hafiq Azmi yang menunjukkan persembahan baik di Kejuaraan CEV Repsol Sepanyol.

“Setakat ini, Amirul Afiq yang paling layak dan walaupun terjatuh minggu lalu, namun dia sentiasa meningkat dari segi catatan masa. Kita akan terus menilai prestasinya.” – Oleh Khairil S Iswan 

 

Hilang 4 orang tersayang

Foto Mohd Taufiq (dua dari kanan) bersama ahli keluarga melihat jenazah isteri dan anak di Hospital Serdang, semalam. - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD
Kajang: “Dunia gelap seketika saat berita malang itu dikhabarkan... ia saat paling hiba dalam hidup saya,” kata Muhammad Tauffid Kassim, 44, yang kehilangan isteri dan tiga anaknya serentak dalam kemalangan di Kajang, semalam.

Ketika dimaklumkan mengenai nahas kira-kira jam 11 pagi itu yang mengorbankan isterinya, Rohaya Md Rabi, 35, dan tiga anak mereka, perkara pertama terlintas dalam fikiran Tauffid ialah nasib empat lagi anak mereka yang masih kecil.
Tiga anaknya yang maut dalam nahas pada jam 11.50 pagi di KM 8 Jalan Kajang-Banting itu ialah Nur Nabila Al-Huda, 9; Nur Nabila Al-Hanan, 7; Muhammad Nabil Lutfi Al-Hadif, 1, manakala seorang lagi, Muhammad Nabil Lutfan Al-Husni, 3, parah dan dihantar ke Hospital Kajang.


“Saya hilang empat nadi sekali gus,” kata guru Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (SKBBB) itu dalam nada hiba sambil memaklumkan, empat anaknya yang masih hidup berusia antara tiga hingga 10 tahun, termasuk Nabil Lutfan.

Bertembung lori

Kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta PERODUA Kancil dipandu Rohaya, yang juga guru agama di SKBBB dalam perjalanan dari arah Bangi ke Kajang untuk menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh di Teras Jernang sebelum dikatakan terbabas dan bertembung sebuah lori dua tan dari arah bertentangan.

Dua anak mereka yang maut, juga bersekolah di SKBBB.
Tauffid berkata, dia sedang mengajar di sekolah ketika dimaklumkan mengenai kejadian itu dan terus lesu sehingga terpaksa dipapah ke lokasi nahas.

“Isteri mengajar sesi petang, saya pula sesi pagi. Biasanya jam 12 tengah hari dua anak yang kecil dihantar ke rumah pengasuh,” katanya sambil menambah, jenazah empat beranak itu dibawa ke Kuala Nerang Kedah, malam tadi untuk disemadikan.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Bangi, Abdullah Ramli, berkata ketika pasukannya tiba di lokasi, tiga daripada anak mangsa yang duduk di kerusi penumpang belakang sudah dikeluarkan orang ramai dengan seorang cedera dan dihantar ke Hospital Kajang.

Kereta remuk

“Kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan dua lagi mangsa, iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang berada di kerusi depan. Keadaan kereta yang remuk teruk menyebabkan dua mangsa berkenaan sukar dikeluarkan kerana tersepit dengan bahagian depan lori,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata kemalangan itu turut membabitkan sebuah van yang melanggar belakang lori berkenaan, namun pemandunya tidak mengalami kecederaan serius.